Tuesday, 3 May 2011

Cinta & Sayang bukan kerana rupa.

Sambil menghirup udara petang di Tasik Paramount. Sempat juga saya membuat gerakan ala-ala Tai Chi dan Qi Qong yang dipelajari. Walaupun gerakan agak sumbang, tetapi menarik perhatian seorang wanita berbangsa Cina.  Dia datang merapati saya.
“Main Qi Qong ya?. Belajar dari mana”, wanita tersebut menyapa saya.
“Ya Qi Qong. Tapi hanya biasa-biasa saja. Belajar dari bos saya di pejabat”, balas saya malu-malu kerana gerakan Qi Qong yang sumbang.
“Cuba awak buat, saya nak tengok”, balas wanita Cina itu.
“Tak apa lah puan. Saya tak pandai”, balas saya.
Sememangnya saya malu untuk menunjukkan gerakan Qi Qong yang saya lakukan kerana gerakan saya “hentam” sahaja. Gerakan yang diajar oleh Ust Hashim belum saya kuasai sepenuhnya. Saya tersenyum tersipu-sipu malu.
Wanita tersebut menceritakan serba sedikit kepada saya berkenaan Qi Qong. Menurutnya aktiviti Qi Qong elok sekiranya dilakukan dibawah pokok. Aktiviti ini berkaitan dengan pernafasan yang memerlukan oksigen yang bersih. Setiap orang mempunyai pergerakkan dan pernafasan mengikut arah sendiri samaada utara, selatan, timur atau barat.
Saya hanya mengangguk-angguk tanda faham. Kemudiannya dia mengajar saya cara yang paling ringkas iaitu bagaimana berjalan dengan kaedah senaman Qi Qong. Pergerakan tangan dan nafas yang dan kaki mengikut cara yang betul.
“Terima kasih puan”, saya mengucapkan terima kasih atas perkongsian ilmu pada pagi itu.
“Umur sekarang berapa?”, saya melontarkan pertanya.
“47 tahun”, jawabnya ringkas.
Memang awet muda sungguh wanita cina ini. Walaupun sudah berumur 47 tahun, kelihatan muda seperti hujung 20-an. Raut wajahnya masih tegang tidak dimamah usia.
““Tak bawa anak-anak berjalan-jalan sekali puan”, saya menyoal wanita tersebut.
“Belum berkahwin, mana ada anak”, dia menjawab sambil ketawa.
Kemudian dia meminta diri untuk meneruskan perjalanan mengelilingi tasik sambil melakukan gerakan senaman.
“Patut nampak muda. Belum kahwin rupanya”, getus hati kecil saya.

Tidak Berkahwin Satu Fenomena
Fenomena tidak berkahwin ini berlaku kepada semua bangsa di dalam negara kita tanpa mengira agama. Bahkan seorang teman memberitahu saya, di sekolah tempatnya mengajar hampir satu per tiga guru disekolah tersebut tidak berkahwin.  Tidak kira kaum lelaki atau wanita.
Bahkan baru-baru di Facebook alumni Akademi Pengajian Islam, Prof Madya Dr Kamil Abdul Majid juga melontarkan persoalan sedemikian.
“Ada ke di kalangan kita yang nak khidmat sukarela menjadi pengerusi Khidmat mencari jodoh. Saya dapati ramai juga bekas pelajar APIUM belum kahwin walaupun dah hampir usia 30 tahun.(lelaki dan perempuan)”-  Prof Madya Dr Kamil Abdul Majid.

Punca Tidak Berkahwin
Tidak dinafikan ramai dalam kalangan lelaki atau wanita yang tidak berkahwin disebabkan tiada jodoh. Sudah berusaha berkali namun tidak berhasil.
Ada juga yang sememangnya menolak jodoh. Setiap kali diterima ada sahaja alasan. Ada yang kerana kerjaya, kecewa dalam percintaan, benci pada lelaki dan kerana rupa paras orang orang yang meminta jodoh tersebut.
Teringat saya di dalam kuliah Tuan Guru Dr Haron Din ketika masih menuntut ilmu perubatan Islam di Darussyifa. Ketika memasuki tajuk doa pendekat jodoh, beliau menyatakan kebanyakkan individu yang tidak berkahwin yang datang berjumpa dengannya adalah individu yang pernah menolak jodoh. Penolakkan tersebut kebanyakkannya atas dasar rupa paras yang selalunya diutamakan oleh seseorang semasa memilih pasangan hidup.
Menurut beliau, adalah tidak elok sekiranya seorang lelaki atau wanita yang menerima lamaran atau pinangan daripada lelaki yang soleh atau wanita solehah untuk menolaknya. Andainya lamaran tersebut daripada lelaki atau wanita yang buruk akhlaknya, bolehlah ditolak.
Sabda Rasulullah SAW:
Apabila datang kepada kamu lelaki yang beragama dan berakhlak maka kahwinlah dia, kalau tidak akan timbul fitnah dan kebinasaan.”
Para sahabat bertanya:Bagaimana kalau ia telah berkahwin?
Jawab Baginda: Kahwinilah juga ia (diulang sebanyak tiga kali).”


Di Tolak Pinangan Kerana Rupa
“Ana sudah beberapa kali meminta muslimat, tetapi ditolak mentah-mentah”, beritahu seorang teman pada suatu hari.
Jawapan yang diberikan, “hati sudah dimiliki”. Walaupun sebenarnya belum ada calonnya. Menurut teman-teman yang lain tastenya agak tinggi.
Bila ada individu lain yang mencuba, jawapannya berbeza tapi seakan-akan sama. “Ana menunggu jodoh dari Allah yang terbaik untuk ana”.
Mungkin kerana teman yang meminta ini, tidaklah tampan wajahnya, padanya cukup sifat seorang lelaki yang soleh.
Pernah saya temui seorang senior, kini berkhidmat sebagai pensyarah di sebuah IPTA. Cerita beliau, ada beberapa orang sahabat seangkatannya sehingga kini masih belum bertemu jodoh. Puncanya kerana ketika berada di universiti, apabila ada yang masuk meminang ditolaknya mentah-mentah. Puncanya sama, “taste” yang tinggi.
Akhirnya, sehingga kini di kala umur hampir mencecah pertengahan 30-an masih belum bertemu jodoh.


Menangis Kerana “Chubby”, Tetapi Bahagia
Saya bawakan kisah seorang Ustazah yang bertemu jodoh dengan seorang Ustaz di kampung saya. Perkahwinan mereka diuruskan oleh keluarga dan tidak pernah bertemu dengan bakal suaminya. Hanya melihat gambar berukuran pasport yang tidak nampak badan.
Bakal suami berkelulusan daripada Universiti Al-Azhar, manakala bakal isterinya berkelulusan pengajian islam universiti tempatan.
Tiba dihari perkahwinan, bakal isteri terkejut melihat suaminya yang agak besar badannya. Jauh lebih besar dari dirinya yang agak “genit”. Maka menitislah air mata Ustazah ini memikirkan nasib dirinya. Beroleh suami yang “chubby”. Igauan mahukan seorang suami yang “macho”, kini hanya tinggal angan-angan.
Masa semakin berlalu, tanpa disedari sudah 10 tahun mereka mendirikan rumah tangga. Sudah beranak pinak. Bila ditanya apa perasaan mengharungi kehidupan berumah tangga, jawabnya “sangat bahagia”. Bahagia kerana mendapat suami yang beragama, berakhlak, penyayang dan bertanggungjawab. Kata ustazah, complete sebagai seorang suami yang mithali.
Awalnya menangis, tetapi kini ketawa girang. Jangan dihanya diawal kita mampu ketawa girang, tetapi diakhirnya kita menangis sendirian. Lebih baik juga sekiranya diawal mampu tersenyum sehingga ke akhir hayat.


Sirah Sebagai Pedoman
Di dalam sirah disebut sebuah kisah berkenaan seorang sahabat bernama Saad B Muaz. Saad bin Muaz adalah salah seorang sahabat yang berkulit amat hitam. Beliau telah meminang ramai wanita, tetapi kesemua pinangan tersebut di tolak.Suatu hari beliau pergi bertemu dengan Rasulullah SAW mengadukan nasibnya.
Rasulullah berkata “Janganlah engkau risau wahai Saad, aku menjamin engkau”.
Lantas Rasullullah bertanya kepada sahabat  yang ada di situ samada ada diantara mereka yang tahu tempat tinggal seorang gadis yang amat terkenal dengan kecantikkannya di madinah pada waktu itu. Seorang sahabat menjawab pertanyaan Rasulullah SAW. Sahabat tersebut kemudiannya diminta oleh Rasulullah untuk membawa Saad bin Muaz untuk meminang gadis tersebut dan Nabi bertindak sebagai penjamin kepada Saad.
Semasa tiba di rumah wanita tersebut, mereka bersembang buat seketika dengan bapa wanita tersebut. Saad kemudiannya menyatakan hajatnya dia untuk meminang anak gadis lelaki tersebut dengan Rasulullah SAW menjadi penjamin.
Terperanjatlah bapa wanita tadi, berubah air mukanya dan lantas menghalau Saad keluar dari rumahnya. Pulanglah rombongan Saad dan pergi menemui Rasulullah.
Ketika kepulangan Saad ini, gadis tersebut keluar berjumpa bapanya dan bertanya kenapa ditolak pinangan Saad. Lalu bapanya bertanya, “Adakah kamu mahu berkahwin dengan Saad yang hitam orangnya?”.
Jawab si anak, “Wahai ayahku. Mahu atau tidak itu bukan soalnya. Tetapi ini adalah pilihan Allah dan Rasulnya. Maka tidak wajar kita menolaknya”.
Kemudian datang bapa gadis tersebut menemui Rasulullah dan memohon maaf kerana menolak pinangan Saad sebelum itu dan menyatakan persetujuaannya di atas pinangan tersebut.
Rasulullah bertanya kepada Saad, “Adakah kau duit untuk berkahwin?”
“Tiada” , jawab Saad.
Lalu Rasulullah menyuruh beliau menemui beberapa orang sahabat bagi tujuan untuk berkahwin. Akhirnya, Saad telah berjaya mendapat 80 dinar hasil sumbangan beberapa orang sahabat.
Lalu Rasulullah berkata, “gunakanlah 40 dinar untuk mahar dan selebihnya untuk membeli peralatan rumahtangga”.
Pergilah saad membeli barang keperluan perkahwinan dan untuk urusan  rumahtangganya.
Semasa memilih barang keperluannya, terdengar seruan yang mengatakann Rasulullah memanggil semua sahabat supaya bersedia untuk ke medan perang.
Saad menggunakan semua wang miliknya untuk membeli kuda, pedang dan baju perisai lengkap dan terus menyahut seruan untuk ke medan perang.
Beliau telah gugur di dalam peperangan tersebut sebagai seorang syahid tanpa sempat untuk berkahin. Tetapi keinginan beliau untuk beristeri digantikan oleh Allah SWT dengan nikmat yang lebih besar iaitu syahid. Di masukkan ke dalam syurga Allah yang bidadarinya lebih cantik dari manusia biasa.

Peganglah Dengan Pesanan Rasulullah SAW
Walaupun kini Rasulullah SAW sudah tiada, namun begitu pesanan Rasulullah SAW masih ada. Berdasarkan kisah Saad ini, dapat kita perhatikan bagaiman Rasulullah SAW sanggup menjadi penjamin kepada Saad untuk berkahwin. Bukan kerana rupa paras Saad, tetapi atas dasar keimanan dan ketaqwaannya.
Rasulullah SAW memperlihatkan kepada kita bahawa di dalam memilih jodoh syarat utama adalah taqwa. Sekiranya pasangan hidup yang dipilih ini berakhlak dengan akhlak Islam, rumah tangga akan bahagia.
Biar pun sederhana rupa parasnya, tetapi cantik agama dan budi bahasanya. Ada yang indah rupa parasnya, tetapi tidak indah perlakuannya.
Bagi yang sudah berumah tangga pasti akan tahu jawapannya, cinta dan sayang bukan kerana rupa. Tetapi cinta sayang kerana akhlak yang mulia.



Dipetik daripada : Tinta Hikmah (Faisal Mustafa)

1 comment:

  1. tapikan..xsmua yg memilih..mybe blm smpai mse utk bertemu jodoh,ade yg blm bersedia dan pelbagai lagi sebab-musababnye. =)

    ReplyDelete